Thursday, 11 November 2010

Malaysia Kaji Kemungkinan Beli Kereta Perisai Buatan Indonesia

Rimau (Anoa 6x6) produksi PT. Pindad (photo : Defense Studies)

JAKARTA: Malaysia sedang mengkaji kemungkinan membeli kereta perisai buatan Indonesia jenis Anoa 6 x 6 untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan kereta perisai pengangkut (APC) jenis Condor yang digunakan sekarang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ATM sedang menilai kenderaan itu terutamanya dalam penggunaannya oleh pasukan pengaman Indonesia di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan Selatan.

“Kami kini di peringkat akhir menilai kemampuannya berada di bumi Lubnan dan sedang meneliti jumlah kenderaan yang akan dibeli nanti,” katanya selepas melawat pameran pertahanan “Indo Defence” di sini.

Beliau berkata Malaysia pernah menggunakan produk Indonesia untuk ATM seperti pesawat pengangkut CN235 selain helikopter Super Puma bagi membawa VIP.

Mengenai kerjasama Industri Pertahanan, menteri itu berkata Malaysia antara lainnya melibatkan kemungkinan dalam bidang pengeluaran peluru kaliber sederhana.

Ahmad Zahid sebelum ini pernah menyarankan agar negara-negara Asean menjalinkan kerjasama pintar dalam industri pertahanan bagi mengurangkan pergantungan kepada negara barat.

Pada masa ini negara-negara Asean mengimport aset pertahanan bernilai tidak kurang daripada AS$25 bilion dari Eropah dan Amerika Utara, katanya.

Sejumlah 17 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam pemeran pertahanan Indo Defence kali ini. – BERNAMA


Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...